arena

Hannah kekal dahului PGA Wanita

Oleh AFP

HANNAH Green memiliki kedua-dua momentum dan tuah apabila dia mengukuhkan pendahuluan pada Kejuaraan PGA Wanita dengan tiga pukulan, awal pagi tadi.

Pemain Australia berusia 22 tahun itu mengekalkan momentumnya susulan pusingan pertama yang mengagumkan apabila dia hanya memerlukan 23 putt. Awal pagi tadi, dia melakukan 27 putt dalam laluan mencatat tiga bawah par 69 dan tujuh bawah par 137 keseluruhan.

Pemenang dua kejuaraan utama Ariya Jutanugarn dari Thailand di tangga kedua selepas merakam dua bawah par 70 di lapangan golf Hazeltine National di Chaska, Minnesota.

Pemain New Zealand, Lydia Ko, yang mencatat 70 dan juara bertahan Park Sung Hyun, yang melakukan 71, berkongsi tangga ketiga dengan 141.

Hannah turut menyelamatkan bola buat hari kedua berturut-turut, kali ini selepas pukulan keduanya di lubang ke-12 par-empat masuk ke kolam. Selepas penalti, pukulannya singgah di rough. Namun dia menyelamatkan par dengan wedge dari jarak kira-kira 55 meter.

“Apabila ia masuk, saya hanya tertawa,” katanya mengenai tuah menyebelahinya itu. “Saya fikir dengan pukulan masuk di lubang ketujuh semalam dan pukulan dari luar hari ini, ia memang memihak saya.”

Pencapaian terbaik Hannah pada kejuaraan utama adalah berkongsi tangga ke-16 pada kejohanan ANA Inspiration tahun lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 1:12pm
d