arena

Juventus sedia bajet lebih RM330j pikat De Ligt

Oleh AFP

KELAB gergasi Itali, Juventus meningkatkan usaha mendapatkan pertahanan Belanda yang juga kapten Ajax, Matthijs de Ligt dan bersedia membayar lebih daripada 70 juta euro (RM330 juta), menurut akhbar De Telegraaf, hari ini.

Pertahanan tengah remaja itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain tetapi Juventus enggan berputus asa malah sedia menawarkan kontrak yang pasti sukar ditolak selain tarikan aura Cristiano Ronaldo, lapor akhbar terbabit.

Hasrat Juve memiliki De Ligt makin memuncak susulan perbualan ringkas Ronaldo dan De Ligt selepas tamat final Liga Negara-Negara yang dimenangi Portugal 1-0 awal bulan ini.

Ketika ditanya stesen TV Belanda, NOS adakah Ronaldo bertanya sama ada De Ligt,19, mahu menyertainya di Turin, dia berkata, “Itu boleh terjadi, mungkin ya.”

"Pada mulanya saya tidak faham. Saya agak terkejut, saya ketawa tapi tak berkata apa-apa,” kata De Ligt.

Jika De Ligt berpindah ke kelab Itali itu dia boleh meraih 15 ke 20 juta euro (RM94 juta) setahun dengan kontrak sehingga lima tahun.

Pengurus De Ligt yang juga ejen bola sepak, Mino Raiola turut berkata mahu menjalinkan hubungan rapat dengan Juventus, menurut De Telegraaf tetapi pada masa sama menurut akhbar itu lagi, perpindahan ke PSG tetap boleh terjadi. - AFP

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 7:15pm
d