arena

MAKAF dah tak wujud - Thiagu

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUMPULAN penentang kepimpinan baharu Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tetap bersikap tenang di sebalik tindakan badan induk itu menggugurkan lima ahli gabungannya yang berhaluan kiri.

Presiden Persekutuan Karate Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang mewakili kumpulan itu, P Thiagu berkata, segala keputusan itu tidak sah kerana menganggap MAKAF sebagai tidak lagi wujud selepas undi tidak percaya dilakukan ke atas mereka.

"Sebelum ini kami sudah pun melakukan undi tidak percaya kepada kepimpinan baharu. Jadi bagi kami MAKAF sudah tidak wujud. Sekarang ini adalah jawatankuasa sementara yang mengambil alih persekutuan itu selepas undi tidak percaya dilakukan.

"Kami hanya tunggu untuk BGM (Mesyuarat Agung Dwi-tahunan) diadakan pada 10 Julai ini dan ia sudah dimaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pesuruhjaya Sukan (PJS)," katanya.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, mesyuarat majlis tertinggi badan induk itu mengambil keputusan tegas menggugurkan lima ahli gabungannya kerana didapati melanggar perlembagaan.

Lima ahli gabungan itu ialah Persatuan Karate Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Persatuan Karate Perak, Persatuan Karate Pulau Pinang, Persatuan Karate Pahang dan Persatuan Karate Goshin-Ryu. Thiagu turut dikenakan tindakan berat apabila lesen pengadil miliknya ditarik semula.

Thiagu bersama-sama 12 ahli gabungan badan induk itu sebelum ini dilihat lantang menentang dan tidak mengiktiraf kepimpinan MAKAF yang baharu. Kumpulan itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh dan meluluskan undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif badan induk itu pada 9 Jun lalu.

Thiagu ketika itu berkata status pentadbir MAKAF akan diambil alih jawatankuasa Ad-Hoc yang dipersetujui 12 ahli gabungan MAKAF sehingga Mesyuarat Agung Pemilihan Majlis Eksekutif baharu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari seperti termaktub dalam perlembagaan MAKAF.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 10:21pm
d