arena

Nak bertanding silakan... tapi ikut peraturan

Oleh Saiful Affendy Sapran

"BE a gentleman (jadilah anak jantan)." Demikian saranan calon Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin kepada pihak didakwanya tidak mengikut peraturan perlembagaan untuk bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu 29 Jun ini.

Megat yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) tanpa berselindung kecewa dengan isu berlaku terutamanya membabitkan pencabarnya, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang didakwa boleh dipersoalkan.

"Nak bertanding itu hak semua orang tetapi ia perlu mengikut peraturan. Kalau tidak, kita gagal memberi imej yang baik kepada semua orang. "Saya pun kena ikut peraturan. Kalau tidak saya juga tidak akan layak bertanding," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka MASCA hari ini. Meskipun sudah disahkan layak bertanding, pencalonan Khairy menjadi buah mulut kerana didakwa terlewat sehari menghantar borang pencalonan daripada tarikh akhir 14 Jun. Pencalonan Khairy juga menimbulkan persoalan mengenai statusnya sama ada anggota dalam mana-mana persatuan sukan yang menganggotai MPM kerana perlembagaan badan itu menyatakan sesiapa juga calon bertanding perlulah menjadi anggota persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah MPM.

Namun, pencalonan Khairy dikatakan sah selepas beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia yang telah dilantik pada AGM persatuan itu pada awal tahun ini.

Sementara itu, Megat juga mengakui tidak gentar bertemu Khairy yang dilihat selaku calon pilihan untuk memenangi kerusi nombor satu MPM itu.

"Saya tak ada rasa kecut atau takut. Kalau kalah pun tak apa tapi sebagai calon anda perlu menunjukkan contoh yang baik. "Biarlah dia (Khairy) jadi calon pilihan, kita underdog. Saya rasa setiap orang ada rekod masing-masing. "Kalau dia menang, biarlah. Kalau yang underdog menang, maka menanglah," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 10:33pm
d