arena

'Vinotinto' makin dihormati: Martinez

Oleh AFP

VENEZUELA semakin dihormati dalam dunia bola sepak selepas layak ke suku akhir Copa America dengan mengalahkan Bolvia 3-1 awal pagi tadi, kata penyerang Josef Martinez.

Susulan keputusan mengagumkan seri tanpa jaringan dengan tuan rumah Brazil Selasa lalu, Venezuela hadir pada aksi di Belo Horizonte menyedari kemenangan membolehkan mereka mara ke peringkat kalah mati.

Darwin Machis meledak dua gol dan selepas Leonel Justiniano merapatkan jurang, Martinez menyumbat gol kemenangan sekali gus menyaksikan Venezuela mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan serta muncul naib juara di belakang Brazil dalam Kumpulan A.

Mereka akan bertemu naib juara Kumpulan B – kemungkinan Argentina – di Stadium Maracana, awal pagi Sabtu ini.

“Kami kini dihormati setiap orang. Kami mendedikasikan kejayaan ini kepada seluruh negara, yang sering mengikuti perkembangan kami,” kata Martinez, yang beraksi dengan Atlanta United di liga Amerika Syarikat.

“Kini kami perlu meneruskan langkah,” katanya. “Kami tidak memikirkan siapa yang akan ditemui selepas ini, kami hanya memikirkan mengenai pasukan sendiri.”

Kemaraan pasukan bergelar ‘Vinotinto’ (wain merah) itu disambut penuh meriah di Venezuela, negara yang dilanda pelbagai krisis.

“Ia perlawanan sukar. Kami beraksi dengan tumpuan sama seperti aksi sebelum ini dan menghormati lawan kami,” kata Machis. “Saya gembira menjaringkan dua gol dan membantu kami menang.”

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 12:56pm
d