arena

Hannah hanya 1 pukulan di depan

Oleh AFP

HANNAH Green mungkin tidak mempamerkan aksi terbaiknya awal pagi tadi namun pemain Australia berusia 22 tahun itu masih mampu mendahului satu pukulan pada Kejuaraan PGA Wanita.

Hannah mencatat dua bawah par 70 namun menyaksikan kelebihan tiga pukulan pada awal pusingan ketiga menyusut kepada hanya satu dengan pemenang dua gelaran utama Ariya Jutanugarn memberikan ancaman.

Hannah membenam tiga daripada empat birdie di sembilan lubang pertama namun kemudian bergelut untuk berakhir dengan dua bogey dalam enam lubang terakhir untuk mengumpul sembilan bawah par 207 keseluruhan di Hazeltine National, Chaska, Minnesota.

“Apabila saya mempunyai masa untuk menanti antara pukulan, masa itulah saya mula berasa gementar,” kata Hannah, yang melakukan tiga putt bagi bogey pada lubang ke-18. “Saya hanya perlu memperlahankannya dan mengambil masa.

“Saya kecewa dengan pukulan putt di 16 dan 18. Saya fikir, ‘OK mungkin saya agak gemuruh ketika itu.’”

Juara Terbuka Wanita AS, Ariya cemerlang dengan empat bawah par 68 dan bersendirian di tangga kedua dengan lapan bawah par keseluruhan.

Nelly Korda, yang memenangi Terbuka Australia Februari lalu, merakam 69 dan berkongsi tangga ketiga dengan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Lizette Salas yang pulang dengan 68.

Hannah hanya beraksi musim kedua dan jika menang awal pagi esok ia kejayaan sulungnya dalam Jelajah LPGA. Dia tidak pernah mendahului selepas 54 lubang dan menjangkakan sesuatu yang sukar pada pusingan akhir.

“Ini kali pertama saya berada dalam posisi ini jadi saya fikir saya pasti berasa gemuruh esok,” kata Hannah.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 1:52pm
d