arena

Afiq enggan beri JDT ruang

Oleh Nazri Abu Bakar

SAINGAN berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Rabu ini, cukup penting buat pemain pertahanan Melaka, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman untuk memastikan skuad terbabit berada di landasan tepat muncul tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini.

Baginya, kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan sememangnya dituntut bagi memastikan kecemerlangan pasukan pada baki empat saingan akan datang.

Bagaimanapun, dia melihat JDT sebagai sebuah pasukan paling mantap yang sukar digugat namun segalanya tidak mustahil untuk dilakukan.

"Apa yang penting kami perlu kental fokus 90 minit permainan sekali gus merencana arahan jurulatih dengan berkesan.

Jika semuanya berjalan lancar lawan mampu dijinakkan.

"Namun kami sedar kesukaran yang bakal dihadapi terutama untuk mengekang pergerakan penyerang mereka.

Justeru, kami sudah bersedia memberi terbaik sepanjang permainan," katanya.

Afiq yang pernah membantu Melaka menjulang Piala FAM 2015 dan menyertai Felda United 2017-2018 mengakui sebarang kealpaan boleh membawa padah buat pasukan.

Berikutan itu, pertahanan kanan berasal dari Kelantan yang mahu menjulang piala bersama skuad terbabit selepas 2015 turut mengharapkan kubu kukuh bakal dibina berdepan pelawat.

Sehubungan itu,sokongan padu peminat turut diakui memainkan peranan penting dalam aksi terbabit, alah jika meraih mata maksimum peluang menghuni tangga ketiga mampu menjadi milik MU dalam masa sama mengintai kedudukan kedua liga selepas itu.

Skuad Hang Tuah kini berada di tangga keempat liga sementara Kedah di kedudukan ketiga namun berkongsi 26 mata sementara Pahang (kedua) dan JDT diunggul dipersada liga.

Apapun, Afiq enggan memikirkan terlalu jauh situasi dan pencapaian sebaliknya mahu kental fokus pada setiap perlawanan hingga ke aksi terakhir liga.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 5:55pm
d