arena

Tewas tipis strategi menjadi - Nidzam

Oleh Izzali Ismail

MOHD Nidzam Jamil mengakui perancangan skuadnya, FELDA United hadir bertahan membuahkan sedikit hasil apabila sekadar tewas 0-1 kepada Kedah pada separuh akhir pertama Piala FA di Alor Setar.

"Strategi saya semalam 'menjadi' tetapi saya lebih gembira jika kita tamatkan perlawanan itu dengan keputusan 0-0.

“Saya tidur lebih lena jika tidak bolos tetapi keputusan berakhir dengan 0-1 ini tidaklah teruk.

"Kita terpaksa menyerap semua serangan Kedah kerana pernah ditewaskan dengan jumlah empat gol di Stadium Darul Aman.

Pengendali berusia 39 tahun itu menghormati keputusan yang ditetapkan oleh pengadil perlawanan biarpun sepakan penalti dikenakan pada perlawanan terbabit.

Nidzam tetap berazam mahu membawa skuadnya ke pentas final Piala FA musim ini walaupun menyedari peluang Kedah lebih cerah.

"Calon pilihan masih lagi Kedah namun saya gembira kalau kita dapat ke final musim ini.

Nidzam memuji aksi penjaga gawangnya menyelamatkan banyak percubaan pasukan Kedah walaupun hadir tanpa dua pemain pertahanan dan tiga pemain import termasuk Jocenie Schad yang baru pulih kecederaan.

Fokus selepas ini adalah menentang Perak kerana FELDA United berada di zon penyingkiran.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 9:15pm
d