arena

KBS sedia buat siasatan

Oleh Ferzalfie Fauzi

JIKA wujudnya perlakuan tidak mengikut peraturan perlembagaan pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada 29 Jun ini, Kementerian Belia dan Sukan bersedia untuk mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) melakukan siasatan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu hanya akan dilakukan selepas menerima laporan rasmi, sesuai dengan prinsip kerajaan baharu untuk mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Saya ada dimaklumkan mengenai perkara ini melalui rakan media dan juga beberapa persatuan yang mengetengahkan masalah ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Terbuka Hado Malaysia 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Menurut Syed Saddiq, prinsip kerajaan baharu adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan dan KBS akan menyiasat mengikut ras undang-undang berkaitan isu berkenaan.

“Sebab kita hendak pastikan tiada unsur penipuan. Kami juga mahu pastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya. Kalau ada laporan rasmi kepada PPS, saya akan mengarahkan mereka menyiasat mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Isu berkenaan berbangkit berikutan tindakan MPM meluluskan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk merebut jawatan presiden badan induk itu walaupun lewat sehari menghantar borang pencalonan.

Kelmarin, calon Presiden MPM, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin mencabar Khairy supaya bersikap ‘gentleman’ dan bersaing secara sihat untuk jawatan itu.

Sebelum ini, Khairy mendapat lampu hijau untuk mencabar Megat biarpun timbul keraguan berhubung isu kelewatannya menghantar borang pencalonan yang dikaitkan dengan campur tangan ‘tangan ghaib’ dalam MPM.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 5:00am
d