arena

Nadal saksi Mallorca naik La Liga

Oleh AFP

BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal menyaksikan Real Mallorca melonjak ke La Liga awal pagi tadi, mengatasi defisit 0-2 pada aksi pertama playoff sebelum menang 3-2 secara agregat ke atas Deportivo La Coruna.

Nadal, masih segar dengan kejuaraan ke-12 Terbuka Perancis, bertepuk tangan ketika Ante Budimir (minit ke-20), Salva Sevilla (m-62) dan Abdon Prats (m-83) meledak gol untuk membantu kelab bandar asalnya itu kembali ke liga utama.

Mallorca, yang dimiliki satu kumpulan pelabur termasuk Robert Sarver, pemilik pasukan NBA, Phoenix Suns dan bekas bintang bola keranjang Steve Nash, akan kembali berdepan pasukan seperti Barcelona dan Real Madrid, tujuh tahun selepas tersingkir ke liga bawahan.

Mallorca mengakhiri kempen divisyen dua di tangga kelima manakala Deportivo satu anak tangga di belakang mereka, mencetus aksi playoff.

Dua lagi pasukan yang dinaik taraf adalah Osasuna dan Granada manakala Huesca, Rayo Vallecano dan Girona tersingkir daripada liga utama.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 1:03pm
d