arena

Hannah lakar gemilang Australia

Oleh AFP

HANNAH Green muncul pemain pertama Australia memenangi kejuaraan utama dalam tempoh 13 tahun awal pagi tadi, menangani cabaran pemain ternama untuk mengungguli Kejuaraan PGA Wanita.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang tidak pernah menang dalam Jelajah LPGA sebelum ini, mencatat par 72 pada pusingan akhir sekali gus menang dengan satu pukulan di depan juara bertahan Park Sung Hyun.

“Untuk memenangi kejuaraan utama dalam kejohanan pertama saya terlalu menggembirakan,” kata Hannah.

Pemain berasal dari Perth itu melengkapkan kemenangannya dengan tolakan putt mendebarkan dari jarak empat kaki pada lubang ke-18 bagi birdie ketiganya pada pusingan akhir untuk mengumpul sembilan bawah par 279 di Hazeltine National di Chaska, Minnesota.

“Saya terlalu berdebar bermain lima lubang terakhir,” kata Hannah. “Saya hanya gembira melakukan putt itu kerana saya bergelut dengannya pada pertengahan pusingan. Ia amat luar biasa.”

Hannah terpaksa menangani kemerosotan permainan pada pertengahan pusingan dengan tiga bogey dalam empat lubang. Namun dia kembali dengan birdie dari jarak jauh pada lubang ke-16 untuk muncul pemain pertama memenangi kejohanan itu dengan mendahului sejak hari pertama sejak pemain Taiwan, Yani Tseng pada 2011.

Hannah berkata, dia cuba untuk tidak membiarkan detik itu menjejaskan sasarannya.

“Saya tidak berasa gementar pada awalnya, tapi menuju sembilan lubang terakhir dengan terlepas putt pada lubang kelapan dan kesembilan, ia benar-benar mengecewakan. Fikiran saya bercelaru ketika itu,” katanya.

“Kemudian melakukan putt di lubang ke-16 benar-benar melegakan. Saya dengar Sung Hyun birdie lubang terakhir jadi saya perlu melakukan par.”

Dia muncul pemain wanita ketiga Australia memenangi kejuaraan utama, menyertai juara tujuh kali Karrie Webb dan pemenang tiga kali Jan Stephenson, yang mengungguli Kejuaraan PGA 1982.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 1:44pm
d