arena

The Fighters tak boleh tercicir lagi

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC yang terdesak untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan tidak rela dikecewakan Perak apabila kedua-pasukan pasukan bertemu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran malam esok.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, berbaki enam perlawanan memerlukan kelab itu bekerja keras untuk mengelak daripada terus keciciran mata.

"Saya akui kami kian terdesak untuk mengelak daripada berada di tangga tercorot liga dan kemenangan adalah jalan penyelesaian mengatasinya.

"Tapi, dengan beberapa masalah dihadapi terutama faktor kecederaan dan penggantungan pemain, ia sedikit memberi kesan.

"Pada perlawanan malam esok, saya masih tidak dapat mempertaruhkan Khairul Amri Kamal dan Thiago Aquino, masing-masing berdepan kecederaan dan penggantungan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kembalinya pemain pertahanan Jepun, Masaki Watanabe diharap membantu mengukuhkan kubu pasukan.

Katanya, fokus utama pasukan adalah untuk memperkuatkan jentera serangan kerana ketajaman di bahagian serangan amat diperlukan untuk memastikan Perak pulang hampa.

"Kelebihan bermain di laman sendiri tidak boleh dipersia-siakan seperti dipersembahkan ketika menewaskan PKNS FC 5-4 pada 14 Jun lalu.

"Saya harap pemain kembali fokus pada aksi Liga Super biarpun kami tewas 0-1 kepada Kedah pada separuh akhir pertama Piala FA di Alor Setar beberapa hari lalu," katanya.

Selepas 16 perlawanan, FELDA United berada di tangga tercorot dengan mengutip 12 mata.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 3:40pm
d