arena

Ecuador-Jepun seri, Paraguay untung

Oleh Reuters

JEPUN dan Ecuador tersingkir daripada Copa America awal pagi tadi selepas mereka seri 1-1 sekali gus menghadiahkan Paraguay tempat ke suku akhir sebagai satu daripada dua pasukan tangga ketiga terbaik.

Kemenangan buat mana-mana pasukan pasti menjamin tempat mereka ke suku akhir dan Jepun bertindak baik pada awal babak dengan mendahului selepas 15 minit apabila Shoya Nakajima meledak gol dari jarak 25 meter.

Ecuador menyamakan kedudukan 20 minit kemudian apabila Angel Mena menampan masuk bola muntah dari jarak dekat dan pasukan Amerika Selatan itu semakin bagus terutama pada babak kedua, apabila corak permainan hantaran jauh mereka menyukarkan pasukan muda Jepun.

Dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan, perlawanan itu lebih terbuka dan menarik sekalipun ia disaksikan jumlah penonton paling kecil pada kejohanan itu setakat ini apabila hanya 9,729 hadir di Stadium Mineirao di Belo Horizonte.

Kedua-dua pasukan berpeluang menjaringkan gol yang boleh membantu mereka layak ke pusingan berikutnya dengan Ayrton Preciado mensia-siakan peluang keemasan buat Ecuador pada masa kecederaan, hanya beberapa ketika selepas pengadil membatalkan gol Takefusa Kubo kerana ofsaid.

Juara Kumpulan C, Uruguay, yang mengalahkan juara bertahan Copa America, Chile 1-0, berdepan Peru awal pagi Ahad ini, manakala Chile menentang juara Kumpulan B, Colombia, satu-satunya pasukan menang tiga aksi peringkat kumpulan, sehari sebelumnya.

Tuan rumah Brazil menentang Paraguay di Porto Alegre pada aksi pertama suku akhir awal pagi Jumaat ini dan Venezuela bertemu Argentina di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, sehari kemudian.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 10:29am
d