arena

Cavani bantu Uruguay juara kumpulan

Oleh Reuters

TANDUKAN lewat Edinson Cavani membolehkan Uruguay menang 1-0 ke atas juara bertahan Copa America, Chile awal pagi tadi sekali gus menyaksikan mereka mengungguli Kumpulan C dan menempah pertembungan suku akhir dengan Peru.

Penyerang Paris Saint-Germain itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran silang Jonathan Rodriguez pada minit ke-82 untuk memecah kebuntuan pada perlawanan seimbang itu sekalipun kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal.

Cavani dibuang padang ketika Uruguay kalah 0-1 di tangan Chile pada suku akhir Copa America 2015 selepas Gonzalo Jara membuat provokasi apabila dia dan rakan sepasukannya meraikan gol seolah-olah mereka sudah menjulang trofi.

Chile, yang menang mudah dua aksi pertama menentang Jepun dan Ecuador, hampir mendahului pada babak kedua apabila Paulo Diaz menanduk ke arah gol namun pertahanan Uruguay, Jose Gimenez mengeluarkan bola di atas garisan.

Penyerang Uruguay, Luis Suarez mempunyai peluang terbaik sebelum rehat apabila dia menemui ruang dalam kotak penalti lawan namun memilih untuk menyepak bukannya mengumpan kepada rakannya yang tidak dikawal.

Seorang penonton mencerobh padang pada hujung perlawanan dan selepas mengelak pengawal keselamatan dia dijatuhkan oleh pertahanan Chile, Jara.

Uruguay menjuarai Kumpulan C dengan tujuh mata, Chile di tangga kedua satu mata di belakang dan terpaksa berdepan aksi suku akhir lebih mencabar menentang Colombia, satu-satunya pasukan yang menang tiga aksi peringkat kumpulan.

Jepun di tangga ketiga dengan dua mata selepas seri 1-1 dengan Ecuador, keputusan yang menyingkirkan kedua-dua pasukan sebaliknya menyaksikan Paraguay layak dari Kumpulan B sebagai pasukan kedua terbaik dalam kalangan kedudukan ketiga kumpulan sekalipun hanya meraih dua mata.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 10:57am
d