arena

Keinginan Coutinho tetap tak berubah

Oleh AFP

PEMAIN tengah Brazil, Philippe Coutinho mengakui dia mengharungi musim buruk bersama Barcelona sepanjang 10 bulan lalu namun menegaskan ia menjadi “pengajaran” kepadanya demi masa depan.

Persembahan Coutinho di Nou Camp musim ini dikritik hebat namun ia tidak menghalangnya daripada mendapat kepercayaan jurulatih Brazil, Tite, beraksi setiap minit buat Selecao pada kempen Copa America di Brazil setakat ini.

“Secara jujur, ia bukannya musim yang bagus. Ia tidak menghasilkan apa yang saya mahu, ia tidak berlaku seperti diharapkan,” kata pemain berusia 27 tahun itu, yang menyertai Barca dengan harga dilaporkan 160 juta euro (RM756 juta) pada Januari 2018.

“Tapi saya harap ia menjadi contoh buat saya, sebagai satu pengajaran jadi saya mahukan lebih lagi, tumpuan lebih untuk terus berjaya.”

Coutinho menjaringkan gol ketika Brazil menang 3-0 ke atas Bolivia pada aksi pertama Kumpulan A, kurang berkesan ketika seri 0-0 dengan Venezuela namun memperagakan aksi terbaiknya ketika membenam Peru 5-0.

“Di sini bersama pasukan kebangsaan sering kali ada tanggungjawab sama: menunjukkan komitmen tinggi untuk bermain,” katanya.

“Sama ada ia musim yang bagus atau buruk, ia tidak mengubah apa-apa: keinginan untuk menang tetap sama, atau mungkin lebih lagi.”

Coutinho hanya menjaringkan 13 gol dalam La Liga Sepanyol sejak menyertai Barca dan hanya beraksi dari bangku simpanan beberapa kali musim lalu.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 1:18pm
d