arena

Suarez buat lawak...

Oleh Reuters

PENYERANG Uruguay, Luis Suarez menjejaskan reputasinya sebagai pemain terbilang ketika pasukannya menang 1-0 ke atas Chile pada aksi Copa America awal pagi tadi apabila dia merayu sepakan penalti kerana penjaga gol lawan memegang bola.

Ketika pasukannya mencari gol menentang juara bertahan Copa America itu dalam usaha menjuarai kumpulan, Suarez meluru ke dalam kotak penalti dan melakukan percubaan yang ditumbuk keluar penjaga gol Chile, Gabriel Arias untuk sepakan sudut.

Bagaimanapun Suarez dilihat seketika terlupa tugas Arias adalah menghalang bola dengan tangannya dan merayu sepakan penalti, membuat gerak isyarat kepada pengadil dengan menunjuk tangannya sendiri.

Penyerang itu kemudian sedar kesilapannya dan berhenti membantah, memegang kepalanya sendiri seperti bagaikan tidak percaya gagal menyempurnakan peluang itu.

Ia genap lima tahun apabila Suarez menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada aksi penentuan kumpulan Piala Dunia 2014, yang menyaksikannya digantung selama empat bulan.

Pada hujung perlawanan, penyerang itu sekali lagi membuat rayuan mengejutkan kepada pengadil supaya melayangkan kad merah kepada pertahanan Chile, Gonzalo Jara kerana menyepak dan menjatuhkan seorang penonton yang menceroboh padang.

Rakan serangan Suarez, Edinson Cavani kemudian meraih gol tunggal perlawanan yang menyaksikan juara Copa America 15 kali, Uruguay muncul juara Kumpulan C di depan Chile sekali gus bertemu Peru pada suku akhir.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 1:40pm
d