arena

FIA patut putus peraturan F1

Oleh Reuters

JUARA dunia lima kali Lewis Hamilton menyatakan keputusan mengenai peraturan Formula Satu sepatutnya dibuat oleh badan induk dunia FIA berbanding pasukan yang mempunyai kepentingan.

Bercakap selepas kemenangan pasukannya pada Grand Prix Perancis kelmarin, pemandu Mercedes itu berasakan sukan itu semakin berkecamuk dan pemandu boleh memainkan peranan mereka untuk memulihkan keadaan.

Hamilton menghadiri mesyuarat dengan pasukan, pengurusan Formula Satu, badan induk FIA dan pembekal tayar Pirelli di Paris pada 13 Jun lalu di samping pemandu Renault, Nico Hulkenberg dan ketua Persatuan Pemandu Grand Prix, Alexander Wurz.

Ia kali pertama pemandu Britain itu, yang memenangi 79 perlumbaan, menghadiri mesyuarat itu dan berkata, dia menyedari tanggungjawab dipegangnya sebagai juara beberapa kali.

Dia turut mengkritik proses membuat keputusan semasa.

“Cara ia dijalankan, hanya dengan memerhatinya apabila saya berada di sana, ia tidak bagus,” katanya. “Ia benar-benar tidak bagus. Mereka tidak suka saya berkata begini. Saya lihat kecelaruan yang ada, saya saksikannya setiap tahun.

“Saya fikir akhirnya FIA, mereka adalah badan induk sukan ini dan mereka perlu membuat semua keputusan,” jelas pemandu dari Britain berusia 34 tahun itu.

“Pada pendapat saya, pasukan tidak boleh terbabit kerana pasukan akan melakukan sesuatu yang memberi faedah kepada mereka.”

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 2:05pm
d