arena

Tampak sukar

Oleh Firdaus Hashim

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menganggap situasi penganjuran Piala Dunia secara bersama membabitkan lima buah negara agak mustahil untuk dilaksanakan ekoran faktor format pertandingan yang bakal menghalang hasrat negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul berkata, agak mustahil untuk memberikan lima slot automatik kepada tuan rumah yang pasti akan mengundang rasa ketidakpuasan hati oleh negara bertanding.

"Format pertandingan Piala Dunia pada 2026 akan berlaku penambahan daripada 32 pasukan kepada 48 pasukan. Dari situ, Asia akan mendapat 8.5 slot ke Piala Dunia.

"Jika negara ASEAN mahu menganjurkan secara bersama pada 2034, itulah perkara yang perlu dikaji semula kerana agak mustahil 5 slot akan diberikan automatik dengan 3.5 akan direbut oleh pasukan lain seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi atau Iran.

"Sudah tentu ia menimbulkan masalah daripada negara lain apabila slot terbabit berkurangan disebabkan oleh pasukan tuan rumah.

"Jadi mekanisma berkenaan juga perlu difahami oleh pihak ASEAN. Ia bukan proses mudah dan perlu diteliti daripada pelbagai sudut," katanya ketika ketika ditemui pemberita pada Konvesyen Kejurulatihan FAM-AFC di Wisma FAM, hari ini.

Semalam, kesemua anggota negara ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Malah, Malaysia yang diwakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersetuju dengan cadangan berkenaan dan percaya ia mampu direalisasikan berdasarkan sokongan padu yang diberikan semua pihak.

"Nak menganjurkan Piala Dunia bukan mudah. Ia memerlukan perbelanjaan cukup besar. Namun saya menyambut baik niat dan hasrat ASEAN kerana mereka mempunyai kesungguhan dan ia baik untuk pembangunan di rantau ini," katanya.

Untuk rekod, rantau ini pernah menganjurkan Piala Asia secara bersama pada 2007 membabitkan empat buat negara Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 10:24pm
d