arena

Dua kelab sama hebat

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PKNP FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

PKNS kendalian Datuk K Rajagobal terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengahnya, R Surendran menjaringkan gol melalui sepakan kencang pada minit ke-34 menewaskan penjaga gol PKNP, Khairul Thaqif Shah.

Tersentak dengan gol itu, anak buah Abu Bakar Fadzim berusaha mencari gol penyamaan, namun sepakan Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi berjaya dinafikan penjaga gol PKNS pada minit ke-45.

Tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penjuru kapten pasukan, Mohamad Hafiz Ramdan yang terus masuk ke gawang lawan tiga minit selepas babak kedua bermula.

PKNP kemudian berjaya mendahului permainan pada minit ke-76 selepas hantaran pemain gantian, Muhammad Ibni Khozaimi ditanduk kemas Giancarlo Lopes. Begitupun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pelawat kembali mengikat kedudukan selang tujuh minit kemudian melalui sepakan penalti yang disempurnakan Kpah Sean Sherman.

Penalti itu diperolehi selepas pemain PKNP, Muhammad Ibni Khozaimi menjatuhkan pemain gantian pelawat, P Gunalan dalam kotak penalti.

Keputusan seri 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 11:17pm
d