arena

Kejutan Curacao pada Piala Emas

Oleh Reuters

JURIEN Gaari meledak gol penyamaan pada masa kecederaan ketika Curacao mengikat Jamaica 1-1 pada Piala Emas Concacaf di Los Angeles awal pagi tadi sekali gus menempah tiket ke suku akhir.

Curacao berdebar menunggu selepas perlawanan awal Kumpulan C itu, namun mereka disahkan layak apabila El Salvador dibelasah Honduras 4-0 pada aksi kedua.

Keputusan Honduras-El Salvador memastikan Jamaica muncul juara kumpulan dengan lima mata manakala Curacao, dengan penduduk hanya 160,000, meraih tangga kedua menerusi perbezaan gol di depan pasukan tangga ketiga El Salvador.

Jamaica akan berdepan naib juara Kumpulan D, sama ada Amerika Syarikat atau Panama, yang terikat enam mata menjelang pertemuan mereka awal pagi esok. Curacao pula akan bertemu juara Kumpulan D.

Shamar Nicholson membuka tirai jaringan buat Jamaica pada minit ke-14 dengan reaksi pantas namun patut boleh menjaringkan hatrik apabila mensia-siakan beberapa peluang keemasan.

Ketika Jamaica tidak mampu menambah gol, Curacao menyamakan kedudukan pada minit ke-93 apabila pemain pertahanan Gaari meledak dari jarak 25 meter selepas mendapat umpanan Leandro Bacuna.

Honduras pula bertuah kerana tiga gol dalam tempoh 16 minit babak kedua membantu mereka meraih mata pertama pada perlawanan terakhir kumpulan itu, sekali gus menyingkirkan El Salvador.

Mereka mendapat gol menerusi Jorge Alvarez (m-59), Rubilio Castillo (m-65), Bryan Acosta (m-75) dan Emilio Izaguirre (m-90).

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 1:39pm
d