arena

Pemain UiTM tak cukup agresif kekang JDT II

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGENDALI UiTM FC, Ismail Zakaria mengakui memang sukar menundukkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang memiliki barisan pemain berkualiti selepas tumpas 0-2 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.

Menurutnya, kesilapan mudah dilakukan barisan pemain UiTM FC memberi ruang buat skuad kendalian Ervin Boban pantas menghukum pasukan itu selain kerap hilang konsentrasi dan gagal mempamerkan aksi lebih agresif.

"Kami kalah kepada pasukan bagus. JDT II dibarisi pemain memiliki skil dan berpengalaman dan itu menjadi punca kami tidak dapat menandingi corak taktikal pasukan itu yang sering memberi tekanan.

"Pemain saya tidak dapat beri tentangan terhadap JDT II yang sentiasa bergerak di posisi tengah, sayap kiri dan kanan. Saya tidak nafikan corak permainan JDT II ada kualiti yang kami tidak dapat imbangi kekuatan mereka.

"Barisan pemain tengah saya tidak dapat bergerak selepas pemain tengah JDT II pantas menyekat pergerakan dan keseluruhan JDT II yang kuasai perlawanan dan kami akur dengan kekalahan dialami," katanya.

Pada perlawanan itu, UiTM FC gagal membawa pulang mata apabila tewas hasil jaringan Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-46 dan disusuli gol jaringan Mohamad Ghaddar pada minit ke-59 bagi mengesahkan kemenangan JDT II.

"Keseluruhan permainan kami sudah cuba yang terbaik dan saya akui bukan senang menentang JDT II di laman mereka. Bertemu dengan JDT II tidak boleh buat silap. Jika buat silap mereka pantas mengambil kesempatan.”

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 6:37pm
d