arena

Awie buru mahkota kebangsaan 2019

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Zawawi Azman memburu gelaran sulung sebagai juara kebangsaan pada saingan dijadualkan berlangsung hujung minggu nanti.

Jelasnya, laluan perlumbaan membabitkan pendakian di Bukit Fraser bakal memberi kelebihan kepada pelumba yang mempunyai kepakaran mendaki sepertinya.

"Memang saya berharap mampu muncul juara acara lepas beramai-ramai kali ini. Apabila melihat kepada laluan bermula di Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Bukit Fraser sekitar 160 kilometer, saya fikir ini peluang terbaik.

"Ia juga peluang kepada saya membuktikan kemampuan kerana kejohanan salah satu dari medan pemilihan untuk mewakili negara di Sukan SEA Filipina nanti," jelas pelumba yang turut dikenali sebagai Awie itu.

Pelumba kelahiran Perak berusia 25 tahun berkenaan dilihat antara pilihan untuk menguasai perlumbaan susulan prestasi dipamerkannya semasa perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Dia muncul pelumba tempatan terbaik selepas mengharungi pendakian kategori hors di Genting Highlands sekali gus tumpuan terarah kepadanya.

Selain menyertai acara lepas beramai-ramai elit, Awie turut menyertai ujian masa individu elit dengan sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik.

Kejohanan Kebangsaan Lebuhraya 2019 dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad membabitkan acara lepas beramai-ramai dan ujian masa bagi kategori elit dan junior.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 9:50pm
d