arena

Bujang Senang lemas di Likas

Oleh Ryan Stanley

JARINGAN hatrik Rodoljub Paunovic memastikan Sabah terus gah di persada Liga Perdana apabila membenam Sarawak 4-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong, Tambadau tidak perlu menunggu lama memperolehi gol pertama apabila Paunovic membuka tirai jaringan dengan menyepak masuk bola hantaran Alto Linus pada minit ke-10.

Jaringan itu menaikkan semangat skuad bimbingan Jelius Ating dan hampir menghasilkan gol kedua menerusi sepakan percuma Ahmet Atayev pada minit ke-16, namun penjaga gol Sarawak, Shaiful Wazizi Mohammad bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Babak pertama menyaksikan Sabah menguasai hampir keseluruhan permainan dengan bahagian serangan skuad Ngap Sayot dilihat langsung tidak mengancam kubu pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-32, gawang Sarawak hampir dibolosi lagi menerusi tandukan Aguinaldo Mendes Veiga yang mendapat hantaran Jenius Karib namun Shaiful sekali lagi berjaya menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun, Aguinaldo kembali menceriakan penyokong Sabah apabila menyambar bola muntah daripada penjaga gol lawan pada minit ke-37 untuk kedudukan 2-0.

Bermula separuh masa kedua, bekas penyerang Sabah yang kini kapten Sarawak, Bobby Gonzales, mengejutkan tuan rumah apabila menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-58 bagi merapatkan kedudukan.

Tersentak dengan gol itu, Sabah kemudian terus melakukan serangan demi serangan bagi memburu gol ketiga dan berjaya memperolehinya pada minit ke-65 apabila Paunovic merembat masuk bola walaupun cubaan pertamanya sebelum itu berjaya dihadang penjaga gol lawan.

Penyerang dari Serbia itu kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-84 apabila melakukan penyudah baik selepas mendapat hantaran terus daripada Jenius bagi menjadikan kedudukan 4-1 dan ianya kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan itu juga, Sabah kini hanya memerlukan satu mata daripada baki empat perlawanan untuk mengesahkan tempat ke Liga Super, musim depan.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 10:40pm
d