arena

Atletico buat tawaran untuk bintang Benfica

Oleh AFP

ATLETICO Madrid membuat tawaran lumayan sekitar 126 juta euro (RM594 juta) untuk mendapatkan khidmat Joao Felix, umum kelab pemain sensasi Portugal itu, Benfica semalam.

Jika perjanjian berjaya dicapai ia akan menjadikan penyerang berusia 19 tahun itu pembelian kelima termahal dunia selepas Neymar, Kylian Mbappe, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele.

Menurut kenyataan kelab itu, “Atletico Madrid sudah mengemukakan cadangan untuk mendapatkan hak... pemain Joao Felix Sequeira dengan nilai 126 juta euro (RM594 juta) yang ketika ini sedang dianalisa.”

Felix dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah termasuk Manchester City, Manchester United dan Juventus.

Pembelian Felix amat dialu-alukan Atletico yang dijangka akan kehilangan penyerang berbisa Antoine Griezmann musim panas ini selepas pemain Perancis itu mendedahkan dia ingin mencari cabaran baharu.

Felix yang boleh bermain di kedua-dua posisi sayap dan tengah menyerang mengharungi musim mengagumkan di Benfica selepas meledak 20 gol dalam 43 perlawanan kompetitif dan membantu kelabnya menjuarai liga Portugal.

Dia turut membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Portugal awal bulan ini di samping Cristiano Ronaldo di peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah menentang Switzerland.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 11:49am
d