arena

Perlu 'luar biasa' untuk kekal Liga Super

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt belum mahu mengangkat bendera putih sebaliknya menaruh harapan yang tinggi skuadnya mampu kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.

Beliau juga masih berkeyakinan pemainnya mampu kekal fokus dalam empat lagi baki perlawanan Liga Super musim ini biarpun perebutan untuk kekal dalam liga itu dilihat kian sengit.

Yee Fatt berkata, beliau sedar dengan situasi pasukan itu yang kini berada dalam keadaan genting selepas berada dalam kelompok tiga terbawah liga.

Katanya keadaan itu memerlukan aksi 'luar biasa' daripada pemain apatah lagi pasukan itu kini berada dalam zon penyingkiran bersama PKNP FC dan FELDA United.

"Baki empat perlawanan lagi memang tidak banyak mata yang boleh kita kutip tetapi kita yakin masih ada peluang dan akan cuba yang terbaik untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan," katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa, skuad The City Boys kini ditangga ke-10 liga dengan mengutip 14 mata dan sama dengan pasukan PKNP FC manakala FELDA menghuni tempat tercorot liga dengan 12 mata.

Mengulas perlawanan malam tadi selepas pasukannya tumpas 1-3 kepada Terengganu FC (TFC), Yee Fatt mengakui pasukannya tidak bernasib baik biarpun berjaya memberi tentangan sengit kepada lawan.

"Inilah bola sepak, ada beberapa perlawanan pemain kami bermain dengan baik tetapi malangnya keputusan tidak menyebelahi kita termasuk perlawanan itu.

"Pujian harus diberikan kepada pemain kerana berjaya mempamerkan aksi terbaik biarpun tanpa kelibat penyerang import, Guilherme de Paula kerana masalah kecergasan.

"Kita tidak putus asa kerana peluang untuk menambah kutipan mata tetap ada, justeru pemain harus buktikan kemampuan mereka selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 1:00pm
d