arena

Kejuaraan untuk rakyat Johor

Oleh Nazri Abu Bakar

TIADA apa lebih menggembirakan pemain senior Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas membantu skuad itu muncul juara Liga Super kali keenam berturut-turut.

Kemenangan 2-1 menewaskan Melaka di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi membuktikan skuad itu kekal unggul tanpa mampu dicabar mana-mana lawan sepanjang enam musim saingan.

Baginya, ia adalah memori indah bersama Harimau Selatan sejak 2012 walaupun turut meraih banyak kejayaan lain sepanjang penyertaannya.

“Kami memenuhi perancangan sejak pra musim untuk memastikan kejuaraan terus menjadi milik JDT.

“Kejayaan peribadi ini juga hadiah kepada seluruh rakyat Johor dan pastinya juga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tulang belakang buat skuad Harimau Selatan,” katanya.

Aidil berkata, skuadnya fokus pada baki empat perlawanan terakhir liga musim ini.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa turut gembira dengan kemenangan berkenaan sekali gus mempertahankan kejuaraan liga buat kali keenam tanpa perlu menunggu aksi selepas ini.

Bekas pemain Argentina itu pernah mengecapi kejayaan sama sebagai pemain JDT.

Dia menyarung jersi JDT pada musim 2014-2018 berkata, pemain melaksanakan tugasan dengan baik menerusi kawalan bola, mencipta dan membuat percubaan ke gawang lawan.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 1:44pm
d