arena

Tocang kena ikat Henrique dan Santos

Oleh Asrol Awang

BUKAN saja jentera serangan malah bahagian tengah Perak menjadi fokus Pahang mengekang asakan tuan rumah apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini.

Biarpun berbekal kemenangan selesa 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Kuantan, minggu lalu, tiada laluan mudah buat skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

Justeru, pemain pertahanan Tok Gajah, Mohd Faisal Rosli bersama rakan sepasukan sedia merantai pergerakan pemain tuan rumah daripada menyekat misi skuad itu melangkah ke pentas final.

"Sudah pasti misi kami adalah memastikan Pahang menempah ke final dan mempertahankan kejuaraan.

"The Bos Gaurus yang memiliki bekalan satu gol di tempat lawan dijangka memberi tentangan dan kami perlu menangkis serangan mereka," katanya.

Mohd Faisal atau dikenali Tocang berkata, dua pemain import iaitu Ronaldo Henrique dan Leandro Santos perlu dikawal.

Namun, katanya, tidak dilupakan penyerang tempatan, J Partiban yang sudah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Dia (Partiban) menjaringkan satu gol pada separuh akhir pertama Piala FA dan terbaru ketika membantu Perak menewaskan FELDA United FC 3-2 dalam saingan Liga Super, kelmarin.

"Oleh itu, saya mengharapkan persembahan lebih baik dan tidak sesekali melakukan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah buat pasukan," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 3:24pm
d