arena

PPS dapat Pesuruhjaya Sukan baharu

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SELEPAS lebih dua bulan beroperasi tanpa Pesuruhjaya Sukan (PJS), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) bakal mendapat bos baharu dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Beliau memaklumkan sudah menandatangani perlantikan individu terbabit dan hanya menunggu pengesahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ia pastinya berita gembira buat komuniti sukan berikutan isu sukan tempatan termasuk dalam Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Syed Saddiq berkata, proses pemilihan dibuat agak meritokratik iaitu melalui peringkat permohonan terbuka, temuduga dan jawatankuasa pemilih dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, jawatankuasa itu menyenaraikan tiga nama untuk dipertimbangkan mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Zaiton Othman yang tamat kontrak pada 8 Mac lalu dan beliau memilih yang pertama.

"Nama saya tidak boleh maklumkan dulu kerana ada proses perlu dilalui, iaitu kelulusan akhir JPA.

“Saya berharap perlantikan ini boleh memuktamadkan segala masalah yang tertanggung secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pembangunan Bola Sepak antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Asia Pacific Sports, Mesuma Sport dan Regent International School di Kuala Lumpur.

Syed Saddiq turut mengesahkan KBS sudah menerima aduan rasmi mengenai isu pencalonan bagi jawatan presiden MPM dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 4:16pm
d