arena

Padah terlalu hormati Harimau Selatan

Oleh Nazri Abu Bakar

TERLALU menghormati Johor Darul Ta’zim (JDT) terutama pada separuh masa pertama antara faktor kecundangnya Melaka United (MU) di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata, lawan bijak mengambil kesempatan dengan begitu mudah mencipta dua jaringan kemenangan mereka.

Menurutnya, jika pemain mengikut percaturan dirancang sudah pasti situasi berkenaan tidak akan berlaku.

"Apapun saya memuji persembahan pemain pada babak kedua yang memberi saingan sengit kepada lawan dalam usaha memburu jaringan.

"Bagaimanapun, kebangkitan berkenaan tidak cukup menggugat pelawat atau sekurang-kurangnya mengikat kedudukan berikutan hanya satu gol berjaya dihasilkan dalam tempoh terbabit," katanya.

Sehubungan itu, dia mahu pemain segera bangkit pada baki empat perlawanan untuk melonjak kedudukan lebih baik berbanding di tangga keenam ketika ini.

Zainal berkata, jarak mata Melaka tidak jauh dengan pasukan di tangga kedua hingga lima, justeru peluang untuk mencabar kedudukan tetap ada.

Mengulas kejayaan JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super, Zainal berkata, skuad berkenaan diakui pasukan yang cemerlang dengan barisan pemain efektif merencana perancangan.

Gol tunggal skuad Hang Tuah dicipta kapten pasukan, Mohd Shukor Adan pada minit ke-86 sementara lawan menerusi Nazmi Faiz Mansor (m-7) dan Diago Santo (m-26) sekali gus membolehkan JDT menjualang kejuaraan keenam Liga Super.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 5:32pm
d