arena

Pendidikan pelatih Akademi Mokhtar Dahari kini lebih terjamin

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

IBU bapa dan pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang kini tidak perlu bimbang mengenai soal pendidikan hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Regent International School hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menerusi kerjasama itu semua pelatih AMD berusia 13 hingga 17 tahun akan mendapat pendidikan bertaraf antarabangsa di akademi itu.

Katanya, pendidikan diberikan secara percuma berbanding jika mengikuti pengajian di sekolah sama di luar, pelatih perlu membayar minimum RM25,000 setahun.

"Dalam lawatan saya ke AMD sebelum ini antara isu utama adalah pendidikan. Pelatih terpaksa berjalan jauh untuk pergi dan balik dari sekolah. Pada masa sama mereka perlu berlatih dan ini menjadi masalah.

"Dengan bantuan Regent International School sekarang kita boleh memanfaatkan kelas di AMD manakala sijil dikeluarkan bertaraf antarabangsa iaitu, International General Certificate of Secondary Education atau IGCSE,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Regent International School, Kool Sport and Asia Pacific Sports.

Syed Saddiq berkata, inisiatif itu diharap dapat menggalakkan ibu bapa berlumba-lumba memastikan anak mereka terpilih untuk program elit bola sepak negara itu.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 6:27pm
d