arena

'Jangan gembira sangat, kekal konsisten'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak tidak mahu gandingan baharunya, Pearly Tan-M Thinaah masih dibuai dengan kejayaan sulung selepas muncul juara di Siri Antarabangsa Malaysia hujung minggu lalu.

Menurutnya, kedua-dua anak buahnya itu harus melihat mana-mana kekurangan yang dirasakan perlu diperbaiki pada masa akan datang kerana selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 pasangan ini bakal menjadi harapan negara.

"Saya tidak mahu mereka terlalu gembira, memang boleh gembira namun mereka harus buktikan untuk berada pada tahap seterusnya selepas ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pearly-Thinaah muncul juara di Arena Badminton Perak, Ipoh selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-16, 11-21, 21-18.

"Ini kejohanan pertama mereka dan apa saja boleh berlaku selepas ini. Bagaimanapun, saya sentiasa melihat prestasi semua pemain baik ketika latihan mahupun kejohanan.

"Jika mereka kekal dengan perwatakan dan komitmen di dalam latihan buat apa saya hendak tukar (gandingan mereka). Saya hanya akan tukar jika ada benda yang perlu ditukar kerana selepas ini akan sentiasa ada hari baru buat mereka," kata Rosman selepas ditanya mengenai masa depan gandingan berkenaan.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 11:08pm
d