arena

Cori layak Wimbedon, baru 15

Oleh Reuters

CORI Gauff muncul pemain termuda dalam era profesional untuk layak beraksi di Wimbledon awal pagi tadi apabila pemain Amerika Syarikat berusia 15 tahun itu membenam Greet Minnen dari Belgium 6-1, 6-1 bagi memastikan tempat ke undian utama minggu depan.

Cori, yang terpaksa menjalani latihan di samping sibuk membuat ulang kaji pelajaran, kelihatan seperti pemain veteran gelanggang rumput apabila dia meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam dua set.

“Saya sedar saya bukan pemain pilihan jadi saya hanya berseronok,” Cori, yang mengimpikan pertemuan menentang idolanya Serena atau Venus Williams di Wimbledon, bercakap kepada wartawan sebalik keluar dari gelanggang di Roehampton.

“Serena adalah alasan kenapa saya bermain tenis dan kenapa bapa membelikan saya raket.

“Tapi saya tidak kisah siapa yang akan ditemui, saya hanya gembira untuk berada dalam undian utama cuma saya suka berkongsi gelanggang dengan Serena. Jika saya bermain salah seorang daripadanya, ia satu impian menjadi kenyataan.”

Cori, yang memenangi kejuaraan remaja Terbuka Perancis pada 2018, diberikan tiket wildcard untuk beraksi pada kejohanan kelayakan Wimbledon. Dia akan menjadi pemain berusia 15 tahun pertama dalam undian utama sejak pemain Britain, Laura Robson pada 2009.

“Saya tidak mempunyai sebarang jangkaan,” katanya. “Saya berasa terlalu dikurnia. Ibu bapa saya tidak pernah meletakkan sebarang had dalam sasaran saya dan memberitahu saya supaya melakukan sebaik mungkin.”

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 12:15pm
d