arena

Anwar mahu hampakan Lang Merah

Oleh Asrol Awang

PAKAR lontaran jauh FELDA United FC, Anwar Ibrahim yang pulih kecederaan bersedia untuk membantu kelab itu mara ke final Piala FA musim ini.

Pemain pertahanan itu mahu memastikan Kedah bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran Ahad ini, pulang hampa. 

Walaupun skuad Lang Merah memiliki bekalan 1-0 pada separuh akhir pertama, minggu lalu, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) percaya peluang The Fighters masih terbuka. 

"Saya tidak sabar turun beraksi selepas pulih kecederaan pangkal paha dialami ketika bertemu Kedah pada separuh akhir pertama.

"Sebelum ini saya terlepas aksi FELDA United tewas 2-3 kepada Perak dalam saingan Liga Super Selasa lalu yang menyaksikan pasukan ini kekal berada di tangga tercorot carta liga. 

"Namun, kami mahu menyekat Kedah di Jengka, Ahad ini," kata pemain berumur 20 tahun itu. 

Anwar berharap kelab itu dapat memberi tekanan kepada pertahanan lawan dengan jentera serangan The Fighters diketuai Khairul Amri Kamal sedia merobek gawang skuad Lang Merah. 

"Kami mahu mendapatkan gol awal dan menang," katanya. 

Kali pertama dan terakhir FELDA United beraksi di final Piala FA ialah pada 2014 tetapi tewas 1-2 kepada Pahang.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 3:39pm
d