arena

Fokus empat pemain

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui mungkin hanya akan memberi lampu hijau kepada empat pemain negara beraksi bersama kelab di luar negara.

Alasan Dhaarma ialah tawaran yang diterima oleh keempat-empat pemain berkenaan adalah sangat berharga sekali gus sukar ditolak.

Empat pemain yang terbabit adalah pakar pukulan sudut penalti negara, Nuraini Rashid serta penjaga gol, Farah Ayuni Yahya yang menerima tawaran daripada kelab utama England, East Grinstead HC serta Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti pula menerima tawaran pasukan Jerman, Wespen Zehlendorfer.

"Kedua-dua kelab itu beraksi di liga utama dan atas faktor itu saya rasa ia akan memberi manfaat besar kepada keempat-empat pemain negara.

"Apapun saya perlu mengadakan perbincangan dengan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan (Kamal) terlebih dahulu kerana segala-galanya juga perlu mendapatkan kelulusan MHC," katanya.

Penamat ketiga pada Pusingan Akhir Siri FIH baru-baru ini bukan saja membuka kembali peluang skuad hoki wanita negara meraih tiket ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 malah ia turut membuka pintu rezeki kepada beberapa pemain negara.

Menerusi saingan di Banbridge, Ireland Utara itu, beberapa pasukan kelab di Eropah dikatakan berminat untuk mendapat khidmat pemain Malaysian Tigress.

Selain empat pemain itu, beberapa pemain lain turut ditawarkan beraksi bersama kelab di luar negara. Sementara itu Dhaarma berkata skuad negara akan kembali menjalani latihan Isnin ini.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 8:56pm
d