arena

Fahami keperluan atlet cacat penglihatan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

"SAYA menawarkan diri merebut jawatan naib presiden MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) kerana merasakan banyak peluang untuk bantu sukan cacat penglihatan ini."

Begitu kata Presiden Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM), Mejar Azhari Abdullah yang pertama kali terbabit dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM esok.

Berdasarkan senarai rasmi calon bertanding dikeluarkan MPM pada 18 Jun lalu, jelas beliau tiada masalah untuk menang tanpa bertanding kerusi naib presiden bagi kuota orang kurang upaya (OKU) yang tidak ditandingi.

Menurut Azhari, sejak menerajui BFAM pada 2012 didapati ramai atlet cacat penglihatan yang memerlukan sokongan untuk lebih maju dalam sukan itu.

"Namun, masih ramai orang tidak faham keperluan utama atlet cacat penglihatan ini. Alhamdulillah apabila kita jelaskan, ada yang terima.

"Hakikatnya bukan simpati yang kita mahu, sebaliknya kefahaman misalnya pergerakan atlet OKU penglihatan ini yang terhad. Simpati ini sukar untuk kita capai kejayaan sedangkan kita mampu bersaing," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau berharap delegasi akan membuat pilihan rasional dan terbaik demi memastikan kemajuan sukan para.

"Pilihlah individu yang diyakini benar-benar berjuang untuk sukan para ini," katanya.

Setakat jam 6 petang tadi, pihak PJS mahupun MPM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status kemelut pencalonan untuk jawatan tertinggi badan sukan itu membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pencalonannya dipertikai kerana dikatakan dihantar selepas tamat tempoh sah bagi kerusi nombor satu MPM itu. Beliau yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia bakal dicabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

John Ng Keng Chuan dari Persatuan Ping Pong Malaysia pula dicabar Dr S Radha Krishnan dari Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia/Persatuan Boccia Malaysia bagi kerusi timbalan presiden MPM.

Lapan kerusi naib presiden pula ditandingi Hadfizah Abd Khafidz daripada Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K M Rajendran (Taekwando Malaysia), Muhd Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia), Dr Ang Kean Koo (Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia), Dr Naharuddin Hashim (Persatuan Badminton Malaysia) dan Azhari.

Selain itu dua calon bagi satu kuota wanita adalah Siti Zaharah Abdul Khalid (Persatuan Boling Padang OKU Malaysia) dan Noor Syahieda Mat Shah (Persatuan Powerlifting Para Malaysia).

Dua pencalonan untuk jawatan Setiausaha Agung diisi Datuk R Subramaniam (Persatuan Olahraga Para Malaysia) dan Irena Chang (Persatuan Bola Tampar OKU Malaysia) manakala S Kumarusamy (Persatuan Para Karom Malaysia) tidak menerima cabaran untuk jawatan bendahari.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 9:21pm
d