arena

Pencalonan KJ mungkin ditolak

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PENCALONAN bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi merebut kerusi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkemungkinan besar ditolak pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu esok selepas didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dalam kenyataan hari ini menjelaskan hasil siasatan pihaknya susulan aduan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) yang membantah pencalonan mesyuarat itu Selasa lalu.

Katanya, MASCA mendakwa tindakan MPM menerima lima borang pencalonan bagi pelbagai jawatan termasuk daripada Khairy Jamaluddin lewat dihantar dan menyalahi peraturan ditetapkan.

"Berdasarkan siasatan didapati MPM terkhilaf berhubung tarikh tutup borang pencalonan yang disangkakan pada 15 Jun 2019.

"Selain itu keputusan Lembaga Eksekutif menerima lima borang berkenaan boleh dipertikaikan kerana Setiausaha Agung (Siti Zaharah Abdul Khalid) memaklumkan ia hanya diputuskan oleh Presiden dan Timbalan sahaja tanpa merujuk kepada exco lain.

"Sehubungan itu PPS mendapati berlaku ketidakakuran dalam proses pencalonan terbabit keadaan ini adalah tidak mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan," katanya.

Selain Khairy Jamaluddin, empat calon lain termasuk Timbalan Presiden, John Ng Keng Chuan dan Zaharah bakal menerima nasib sama kerana lewat menghantar borang pencalonan.

Kemelut pemilihan MPM tercetus apabila Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia dikatakan menghantar borang pencalonan pada 15 Jun bersama John Ng dan tiga calon lain, sedangkan tarikh akhir di borang pencalonan adalah pada 14 Jun.

Sementara itu, Zaharah ketika dihubungi menegaskan AGM MPM tetap diadakan esok walau apapun berlaku. "Apa-apa prosedur dan proses akan diputuskan dalam mesyuarat esok. Sebenarnya untuk membatalkan AGM itu adalah hak AGM (ahli) dan ia perlu diteruskan walau apa terjadi seperti dinyatakan dalam perlembagaan majlis.

"Keputusan termasuk terima atau menolak (pencalonan) juga akan diputuskan dalam AGM esok," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy Jamaluddin menerusi Pegawai Medianya Raja Syahrir Abu Bakar memaklumkan pihaknya akur dengan nasihat PPS dan keputusan yang akan dibuat.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 10:54pm
d