arena

Buru kelompok 30 terbaik dunia

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengharapkan Lim Chong King dan tiga orang pemain muda perseorangan lelaki negara untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Menurut Pengarah Kejurulatihan badan induk berkenaan, Wong Choong Hann sasaran berkenaan dibuat adalah untuk melihat potensi sebenar keempat-empat pemain itu sama ada mampu untuk menjadi pemain utama perseorangan lelaki negara.

"Ini adalah satu jangkaan untuk kita melihat mereka meningkat naik dan betul-betul menonjol. Sekiranya dalam tempoh berkenaan (dua tahun) mereka menonjol kita boleh menilai potensi sebenar mereka," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadiki, Ng Tze Yong dan Ziyad Tah bukan hanya perlu menonjol tapi sekurang-kurangnya meraih satu kejuaraan bertaraf Siri Antarabangsa (IS) serta Cabaran Antarabangsa (IC).

"Jika diizinkan dan mempunyai keyakinan serta melalui corak latihan yang betul mereka mampu untuk menyinar.

"Sekarang ini saya mengharapkan mereka terus berusaha dan mempunyai perkembangan positif. Saya juga mengharapkan mereka sentiasa rajin dan komited," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Keempat-empat pemain berkenaan masih berada dalam tempoh percubaan dan berlatih di bawah kendalian ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 12:59am
d