arena

In-bee terajui saingan Arkansas

Oleh AFP

PARK In-bee mencatat sembilan di bawah par 62 dalam aksi bebas bogey awal pagi tadi untuk mendahului satu pukulan di Kejohanan LPGA NW Arkansas, di Rogers, Arkansas.

Bintang Korea Selatan itu yang mengumpul tujuh gelaran utama di antara 19 gelaran Jelajah LPGA, mencatat lima birdie berturut-turut dari lubang ke-11 hingga 15 di antara sembilan birdie dilakukannya di lapangan Pinnacle Country Club yang mempunyai par 71.

Dia mendahului satu pukulan berbanding pemain Sepanyol, Carlota Ciganda, pemain Thailand Sherman Santiwiwatthanaphong dan pemain Amerika Syarikat Paula Creamer, manakala pemain Thailand Ariya Jutanugarn serta dua pemain AS Annie Park dan Maria Torres terikat dengan 64 pukulan.

Sherman mencatat 10 birdie dan dua bogey untuk 63 pukulan manakala Carlota mencatat sembilan birdie dan satu bogey.

Kedua-duanya berada di rumah kelab lebih awal di belakang In-bee manakala Paula menyertai mereka dengan lapan di bawah par dalam pusingan yang menyaksikannya melakukan sembilan birdie dan satu bogey.

In-bee yang memburu kejuaraan pertamanya sejak Piala Founders 2018, menjuarai NW Arkansas pada 2013 dan mengakui keserasiannya dengan lapangan itu memberikan kelebihan buatnya.

“Saya mungkin beberapa kali bermain di lapangan ini, jadi ia membantu permainan saya sepanjang minggu ini,” kata In-bee.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 12:45pm
d