arena

Michelle mahu rehat dulu

Oleh Reuters

MICHELLE Wie, yang bertarung dengan pelbagai kecederaan sepanjang kariernya memberitahu dia tidak akan beraksi dalam perlawanan kompetitif sehingga akhir tahun ini sehinggalah benar-benar sihat.

Keputusan itu terus memberikan khabar duka buat pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu yang kembali menyertai kejohanan golf kompetitif sejak pembedahan pergelangan tangan Oktober lalu.

“Selepas melakukan apa saja untuk bermain tahun ini, saya memutuskan untuk tidak beraksi sepanjang tahun ini daripada kejohanan golf kompetitif,” kata Michelle menerusi Twitter.

“Saya dan pasukan saya percaya ini akan memberi peluang terbaik untuk kembali sihat.”

Michelle, juara lima kali Jelajah LPGA itu kembali selepas berehat dua bulan dalam Kejohanan PGA Wanita minggu lalu apabila masih dihantui kecederaan pergelangan tangan ketika mencatat 12 di atas par 94 di Kelab Golf Hazeltine National di Chaska, Minnesota.

Bekas juara Terbuka Wanita AS itu sering dilihat meletak ais di pergelangan tangan sebelum membuat pukulan dan kemudiannya menangis apabila memperkatakan mengenai masa depannya sebagai pemain kepada media.

“Saya berada dalam situasi di mana anda tahu, saya tidak pasti apa lagi yang tinggal pada diri saya,” kata Michelle.

Biarpun sakit, Michelle terus bermain pada pusingan kedua dengan 82 pukulan dan tersingkir buat kali ketiga dalam empat kejohanan disertainya tahun ini, selain turut menarik diri daripada Kejuaraan Wanita Dunia HSBC pada Februari seawal pusingan pertama.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 1:24pm
d