arena

Era baru KLHA

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) memasuki era baru apabila pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan yang berlangsung hari ini menyaksikan penampilan majoriti muka baharu.

Mereka mengetepikan kepimpinan lama yang pernah menjawat satu-satu jawatan hampir 30 tahun.

Ia diketuai Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang memenangi kerusi presiden mengetepikan penyandang, Datuk Abu Huraira Yazid.

Bekas pemain kebangsaan, I Vikneswaran pula memenangi kerusi Timbalan Presiden menewaskan penyandang, S Samson.

Setiausaha pula menjadi milik Muthu Kannu Veerapen selepas penyandang, V Rajamanickam menarik daripada daripada mempertahankan jawatannya itu.

"Oleh kerana majoriti adalah muka baru, kami akan cuba menjalinkan kerjasama dan melihat beberapa aspek yang perlu diteliti.

"Saya akan pastikan aspek pembangunan ditekankan. Saya juga akan berhubung dengan pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk cuba mencari jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara," kata Megat yang turut akan memberi penekanan kepada pasukan Kuala Lumpur terutamanya untuk saingan Piala Tun Razak.

Melengkapi senarai kepimpinan baharu itu ialah lima naib presiden, iaitu Muhamad Fariz Mustafa, Wan Muhammad Faizal Ismail, Hebzibah Sudin, Vigneswaran Suppiah dan Meor M Shahril Saarani.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 6:15pm
d