arena

Sila lebur rekod saya - Chong Wei

Oleh Saiful Affendy Sapran

LEBIH dua minggu selepas mengumumkan persaraan, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tampil mencabar barisan pemain negara untuk meleburkan rekodnya selaku pemain yang menghuni ranking pertama dunia paling lama.

Legenda berusia 37 tahun itu melaungkan cabaran berkenaan selepas menerima pengiktirafan daripada The Brandlaureate Book of World Records berikutan pencapaian muncul satu-satunya pemain yang menduduki ranking pertama dunia selama 348 minggu atau enam tahun dan lapan bulan.

"Terima Kasih The Brandlaureate Book Of World Records untuk pengiktirafan ini. Anugerah ini sangat bermakna terhadap saya. Saya amat berharap pemain yang bakal pecah rekod saya ini nanti pun anak Malaysia.

"Yang ‘terrer’ (hebat), lagi mantap, mungkin lagi hansome (kacak)," katanya menerusi entri yang dimuat naik di lama facebook miliknya.

Chong Wei mempunyai rekod lain yang sukar digugat antaranya memenangi 69 kejuaraan individu sepanjang kariernya.

Dia juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dari 2008, 2012 dan 2016 serta naib juara dunia 2011, 2013 dan 2015.

Ikon negara itu juga memenangi empat kejuaraan berprestij Seluruh England serta muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali dengan kali terakhir pada tahun lalu.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 8:21pm
d