arena

Karolina rangkul gelaran Eastbourne kedua

Oleh AFP

PEMAIN nombor tiga dunia Karolina Pliskova meraih gelaran Antarabangsa Eastbourne keduanya selepas menewaskan juara Wimbledon, Angelique Kerber 6-1, 6-4 hari ini.

Pemain Republik Czech itu yang tidak tewas sebarang set sepanjang minggu ini hanya memerlukan satu jam untuk merangkul gelaran ketiganya tahun ini.

"Sepanjang minggu ini saya beraksi dengan sangat baik,” kata Karolina. “Tetapi tidak semua perlawanan semudah catatan mata terutamanya hari ini.”

Angelique bakal mempertahankan kejuaraan Wimbledon di London minggu depan sebagai pemain pilihan tetapi berdasarkan prestasi hari ini tampak Karolina mampu menamatkan kemarau kejayaan Grand Slamnya.

"Saya cuba melakukan yang terbaik tetapi anda lebih berhak memenanginya hari ini,” kata Angelique.

"Saya rasa bagus dan berharap dapat mengulangi prestasi seperti tahun lalu.”

Karolina pantas mendahului 4-0 selepas servis Angelique tiga kali dipatahkan pada set pembukaan.

Servis pemain Jerman itu sekali lagi dipatahkan pada awal set kedua sebelum Karolina melakukan servis mata akhir untuk kemenangan mudah ke atas Angelique.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 9:59pm
d