arena

Hatrik Akil bantu kemenangan Terengganu

Oleh Malik Muhamad

JARINGAN hatrik Ahmad Akil Khalis Adli Khairuz membolehkan Terengganu menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada aksi kedua Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Negeri Terengganu, sebentar tadi.

Terengganu yang seri 2-2 dengan Kedah pada aksi pertama minggu lalu bermula garang apabila memperoleh gol pertama menerusi lambungan menarik Ahmad Akil.

Pelawat tidak menunggu lama menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti, Muhammad Amirul Ismail.

Tuan rumah yang dibimbing Mohd Rozairi Ahmad berjaya menjarakkan kedudukan 2-1 selepas Ahmad Akil bijak mengelirukan penjaga gol, Mohd Idham Osman melalui situasi 'set piece'.

Skuad Penyu menambah jaringan ketiga sekali lagi menerusi Ahmad Akil yang merembat kencang di sebelah kanan pintu gol pelawat.

Kecemerlangan penjaga gol Terengganu, Tengku Azraf Fahmi Che Ku Sulong yang banyak menyelamatkan percubaan lawan antara faktor kejayaan skuad itu.

Sementara itu jurulatih Terengganu, Mohd Rozairi berkata, pemainnya berjaya memanfaatkan peluang terhidang selepas gagal melakukannya ketika bertemu Kedah pada aksi pertama.

"Ini kunci kemenangan pada malam ini. Apa yang kami harapkan bertemu Kuala Lumpur minggu depan, pemain perlu lebih banyak mencipta peluang untuk mencatat kemenangan kedua," kata Mohd Rozairi.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 10:59pm
d