arena

Yoga jadi pelali Aifa

Oleh Azlan Muhammad Zain

KEHIDUPAN sebagai atlet sememangnya mencabar dengan jadual dan rutin latihan yang ketat bagi memastikan kejayaan mampu dicapai apabila menyertai kejohanan.

Kebanyakan atlet mempunyai cara tersendiri dalam mengurangkan tekanan yang mereka hadapi.

Bagi pemain skuasy negara, Aifa Azman dia memilih yoga dalam mencari ketenangan ‘minda’ selepas seharian berhempas-pulas memerah keringat dalam latihan dan pertandingan.

“Jadual latihan memang padat dari Isnin hingga Sabtu. Ia tidak termasuk kejohanan yang disertai sama ada dalam atau luar negara.

“Saya memilih yoga dalam mengurangkan tekanan. Ia membolehkan saya menenangkan fikiran. Sebenarnya ia umpama ‘kill two birds with one stone’ kerana ia turut menolong saya mengurangkan kesakitan badan.

“Saya mengalami pelbagai kecederaan dalam sukan ini, jadi sesetengah teknik yoga amat membantu. Antaranya mengurangkan kesakitan belakang yang saya alami,” katanya.

Menurut Aifa, minatnya terhadap yoga bermula ketika berusia 16 tahun apabila didedahkan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) menerusi program anjuran mereka.

“Teknik yang saya amalkan boleh disifatkan biasa dan asas, tiada yang terlalu sukar kerana keutamaan adalah untuk mengurangkan tekanan dan kesakitan badan. Namun saya sentiasa cuba mendalaminya dengan belajar menerusi YouTube.

“Kini yoga sudah menjadi rutin saya setiap kali sebelum memulakan latihan selain meluangkan masa kira-kira setengah jam pada hujung minggu,” katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu mula berjinak-jinak dengan skuasy sejak berusia enam tahun selepas mengikuti kakaknya, Aika menjalani latihan di sekolah.

Ia mendorongnya untuk mencuba dan bakatnya terus diasah hingga ke peringkat kebangsaan sebelum mula mewakili negara ketika berusia sembilan tahun pada satu kejohanan di Hong Kong.

“Ranking semasa agak merudum kerana berehat seketika sejak Jun tahun lalu namun saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 50 terbaik tahun ini,” jelasnya yang menjadikan Datuk Nicol David sebagai idola.

Dia antara yang dilabel sebagai pengganti Nicol selepas meraih beberapa kejayaan di Jelajah PSA termasuk juara Terbuka British Bawah 13, B-15 dan B-17.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 8:04am
d