arena

Ashleigh 'yakin' menuju Wimbeldon

Oleh AFP

ASHLEIGH Barty melangkah ke Wimbledon dengan penuh keyakinan, tidak seperti penyandang sebelumnya, Naomi Osaka dengan menjadi pemain nombor satu dunia dengan beberapa seteru utamanya bergelut mencari rentak.

Pemain Australia berusia 23 tahun itu yang menyamai rekod rakan senegara Evonne Goolagong Cawley dengan menjadi pemain nombor satu dunia hujung minggu lalu, masih belum pernah melepasi pusingan ketiga di Wimbledon.

Bagaimanapun dengan menjuarai kejohanan Birmingham hujung minggu lalu, Ashleigh membuktikan bahawa dia mempunyai kemampuan untuk menambah gelaran selepas Evonne melakukannya buat kali kedua pada 1980.

Dengan juara tujuh kali Serena Williams, 37, mula menunjukkan tanda dimamah usia, Naomi pula terus beraksi buruk dan juara Wimbledon dua kali Petra Kvitova belum mencapai tahap terbaik susulan kecederaan lengan, juara bertahan Angelique Kerber mungkin tinggal sebagai pencabar utama Ashleigh.

Ashleigh yang menempah laluan berbeza untuk menjadi nombor satu dunia dengan berehat sementara untuk bermain kriket menegaskan dia sama sekali tidak tertekan.

“Satu-satunya tekanan adalah apa yang saya letakkan pada diri sendiri,” katanya.

“Bagi memastikan saya melakukan semuanya dengan betul dan melakukan persiapan terbaik supaya saya boleh cuba mempamerkan aksi tenis terbaik, cuba bermain dengan baik dan menikmatinya.”

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 1:31pm
d