arena

Zhahin ungguli Kejohanan Tenis Remaja Asia NAAM

Oleh Hamzah Osman

MUHAMMAD Zhahin Ielyas Kamarul Zaman menepati ramalan selaku pilihan pertama apabila muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Remaja Asia NAAM 14&U Langkawi 2019, di Langkawi, hari ini.

Kejayaan itu diperoleh selepas pemain negara itu menewaskan Nikhil Mukherjee dari India, pada aksi final 6-2, 6-7(5), 6-4 di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pemain bimbingan jurulatih kebangsaan Muliyadi Jamal itu mengambil masa hampir dua jam 45 minit untuk menewaskan Mukherjee yang memberi tentangan hebat sepanjang perlawanan.

Kategori perseorangan wanita diungguli wakil negara selepas pemain pelapis kebangsaan yang juga juara bertahan kejohanan, Iman Syuhada Abdullah menewaskan rakan senegara Dania Melati Fahrol Rodzi 6-0, 6-2. 

Iman Syuhada yang kemudiannya berpasangan dengan Dania Melati beraksi cemerlang mengetepikan cabaran gandingan Uyenmy Dao (Vietnam) dan Kayleigh Lim (Singapura) 6-1, 6-2 bagi menjuarai kategori beregu wanita.

Pasangan Minh Tuan Dinh Viet dan Minhthien Nguyen dari Vietnam pula merangkul kejuaraan beregu lelaki selepas menewaskan gandingan Ethan Maan (Singapura) dan Nikhil Mukherjee (India), 6-2, 7-6 (7).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi NAAM Group, Datuk Dr Ravi Ponniah.

Kejohanan edisi ketiga anjuran Persatuan Tenis Kedah itu menarik seramai 50 orang pemain dari 13 buah negara iaitu Singapura, Filipina, Thailand, Latvia, Pakistan, India, Indonesia, Arab Saudi, Hong Kong, Jepun, Itali, Vietnam dan tuan rumah, Malaysia.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 8:56pm
d