arena

Denis Suarez kembali sertai Celta

Oleh Reuters

PEMAIN tengah Barcelona, Denis Suarez bersetuju kembali beraksi bersama kelab zaman remajanya, Celta Vigo, menurut jurucakap juara Sepanyol itu.

“Barcelona dan Celta Vigo mencapai persetujuan mengenai perpindahan Denis Suarez. Kelab Galicia itu akan membayar Barcelona 12.9 juta euro (RM60 juta) dan tambahan 3.1 juta euro (RM14 juta) lagi,” kata Barca dalam satu kenyataan.

"Barcelona berterima kasih kepada Denis Suarez di atas komitmen dan dedikasinya. Kami berharap Suarez akan meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.”

Karier Suarez, 25, bermula di akademi Celta dan beraksi bersama skuad simpanan sebelum berpindah ke Manchester City ketika berusia 17 tahun tetapi tidak pernah beraksi secara kompetitif bersama kelab Liga Perdana itu.

Dia kembali ke Sepanyol dan menyertai skuad simpanan Barcelona pada 2013 sebelum dipinjamkan ke Sevilla dan Villarreal.

Suarez menempatkan diri dalam kesebelasan utama Barca pada 2016 dan melakukan 16 penampilan dalam dua kempen aksi La Liga.

Suarez tidak beraksi bersama Barca musim lalu dan dipinjamkan ke Arsenal pada Januari tetapi penampilan kali keduanya di England dibayangi kecederaan. Dia kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya enam kali beraksi sebagai pemain gantian.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 8:19am
d