arena

Brazil ada cara kekang Messi, Aguero

Oleh AFP

BINTANG Argentina, Lionel Messi dan Sergio Aguero perlu bekerja lebih keras jika mahu menembusi kawalan ketat pertahanan Brazil dalam aksi separuh akhir Copa Amerika, menurut penyerang Selecao, Gabriel Jesus.

Tuan rumah Brazil belum lagi melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan di Copa sementara pertahanan Argentina semakin baik dan kekal tanpa bolos dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Jesus menjangkakan saingan sengit di Belo Horizonte pada awal pagi Rabu ini dan pertahanan Brazil tidak akan memberi ruang kepada penyerang Argentina bergerak bebas.

"Sukar menembusi benteng yang tidak melepaskan gol,” akui penyerang Manchester City itu mengenai kemampuan pertahanan Argentina.

"Sudah agak lama kami tidak dibolosi dan sangat penting mempunyai pertahanan yang kukuh.

"Tetapi tidak semudah itu untuk Argentina melepasi kawalan kami. Mungkin mereka mempunyai Messi, pemain terbaik dunia dan Aguero salah seorang penyerang terbaik tetapi kami juga mempunyai cara menghalang mereka.”

Jesus berkata dia pasti Argentina akan menyerang mereka dan dia tak sabar bergurau dengan rakan sepasukan di City, Aguero dan Nicolas Otamendi tetapi hanya selepas tamat perlawanan.

Apapun yang pasti pertembungan dua gergasi Amerika Selatan itu paling dinantikan peminat bola sepak.

Brazil pasukan paling berjaya di Piala Dunia dengan lima kejuaraan manakala Argentina dua tetapi di peringkat benua sebaliknya dengan Argentina menjuarainya sebanyak 14 kali berbanding lapan milik Brazil.

Jika Argentina menjuarainya mereka akan menyamai kejayaan Uruguay sebanyak 15 kali.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 11:06am
d