arena

McKennie bawa AS ke separuh akhir Piala Emas

Oleh Reuters

JARINGAN Weston McKennie pada separuh masa pertama membolehkan Amerika Syarikat (AS) mara ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF selepas menewaskan Curacao 1-0 di Stadium Lincoln awal pagi tadi .

McKennie menanduk masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran Christian Pulisic pada minit ke-25.

Curacao yang menduduki ranking ke-79 dunia, 49 anak tangga di belakang AS tidak menghiraukan reputasi lawan mereka dengan kerap melancarkan serangan balas pantas.

Gawang tuan rumah hampir dibolosi dua kali menerusi percubaan penyerang Curaco, Gevaro Nepumoceno namun penjaga gol AS, Zack Steffen muncul penyelamat.

Penjaga gol Curaco, Eloy Room turut bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan pemain AS.

Kapten Curacao, Cuco Martina memuji persembahan rakan sepasukan dan berkata mereka patut bangga selepas tamat perlawanan.

"Kami berjuang seperti singa. Kami melakukan apa sahaja untuk menang. Kami mempunyai peluang tapi gagal menjaringkan gol.”

AS akan menentang naib juara dua edisi terakhir Piala Emas, Jamaica dalam aksi separuh akhir di Nashville pada awal pagi Khamis.

Mexico menentang Haiti dalam satu lagi perlawanan di Glendale, Arizona sehari sebelumnya dan final berlangsung di Chicago pada 7 Julai.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 11:46am
d