arena

Penalti sentap semangat pemain FELDA United

Oleh Nik Sukry Ramli

PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil mengakui keputusan pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin menghadiahkan sepakan penalti kepada Kedah antara punca kekalahan skuadnya.

Beliau mengakui bangga dengan semangat juang dipamer anak buahnya dan menaruh harapan agar FELDA United kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Pasukan ini mempunyai masa depan yang baik dan kita sudah membuktikan dengan barisan pemain muda kita miliki, kita mampu sampai ke tahap ini (separuh akhir Piala FA).

"Memang mereka (Kedah) beraksi baik sepanjang separuh masa pertama dan kita berjaya menyerap asakan serta bangkit pada babak kedua" katanya.

FELDA United berjaya mengatasi Kedah 3-2 namun gagal layak ke pentas final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Kedah memperoleh gol melalui sepakan penalti disempurnakan pemain import mereka, Fernando Rodriguez Ortega m-24 dan Mohd Farhan Roslan m-36.

FELDA United mendapat jaringan melalui pemain import, Thiago Junio Aquino pada m-64, S Chanthuru m-71 dan kapten pasukan, Hadin Azman m-93.

Mohd Nidzam berkata, pemain kendaliannya sudah memberikan persembahan terbaik.

"Saya tidak boleh mengharapkan lebih lagi daripada mereka. Kita berjaya meletakkan Kedah dalam keadaan cemas pada babak kedua.

“Ini pengalaman pada empat terakhir Piala FA. Dibarisi majoriti pemain muda, saya percaya skuad ini mampu pergi lebih jauh pada masa depan," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 5:47pm
d